fbpx

“Made In USA” – Di Sebalik Kemegahan Reputasi

Crafted+w+Pride++in+USA+Patch

“Apa yang ‘hebat‘ sangat tentang American made products? Jika di arena ‘pembandelan’ (anggap sajalah terma itu wujud), barangan yang berketurunan USA dikira ‘JADI’ (dibaca)”. ‘Jadi’ maksudnya disini adalah merujuk kepada pilihan utama yang menjadi rebutan peminat barangan vintej dan terpakai. Malah, perbezaan harga juga agak signifikan jika dibandingkan dengan produk buatan negara lain jika dibandingkan dengan yang dibuat di USA.

“Made in USA” adalah label yang dilindungi oleh Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan, atau FTC (Federal Trade Commission). Syarat satu-satu produk ingin dipanggil Made In USA, produk itu mesti dibuat di dalam sempadan negara Amerika Syarikat menggunakan “semua atau hampir semua” bahan yang berasal dari Amerika – atau sebahagiannya.

 

Menurut laman web FTC, “semua atau hampir semua” bermaksud bahawa “semua bahan dan pemprosesan penting yang digunakan di dalam produk mestilah berasal dari America. Maksudnya, produk tersebut mestilah tidak mengandungi – atau campuran – material dari negara lain.” . Cerewet juga syarat-syaratnya ya.

Bagi produk berasaskan tekstil, serta barang-barang yang dibuat dari bulu binatang, syarat tambahan dikenakan. Menurut FTC, pakaian dan tekstil lain dibenarkan memiliki label “Made in USA” selagi barang itu dipotong dan dijahit di AS dan kain itu dibuat di AS, tidak kira di mana material itu berasal atau di mana benang itu dipintal.

 

Bagi komuniti bundle, vintej dan barangan terpakai di Malaysia, label Made In USA sudah tentunya antara faktor utama yang dititikberatkan. Sebut saja dari t-shirt, kasut, seluar jeans, topi, cermin mata dan lain-lain, jika ianya datang dengan label Made In USA, item itu akan mendapat perhatian yang lebih. Hal ini sebenarnya bukanlah propaganda atau permainan manipulasi penjual untuk menaikkan harga jualan. Ada sebab yang kukuh kenapa item-item tersebut menjadi kegilaan ramai.

Namun adakah produk buatan negara selain USA tidak bernilai? Adakah terdapat jurang besar dalam perbezaan kualiti produk tersebut jika dibandingkan antara yang buatan USA dengan yang bukan? Sejak beberapa generasi yang lalu, produk keluaran USA terutama yang berasaskan tekstil menjadi pilihan utama di seluruh dunia kerana kualiti dan daya ketahanan. Bayangkan, t-shirt pengakap tahun 50an, kemeja rayon dari era 60an, jaket Levi’s dari zaman 70an dan seluar jeans yang berusia ratusan tahun pun masih utuh keadaannya. Bukti sudah ada didepan mata dimana anda boleh lihat sendiri item-item tersebut ditangan kolektor tanah air atau lawati laman web www.lokein.com dimana terdapat pelbagai item diiklankan untuk jualan yang majoriti adalah item yang sudah berusia lebih 20 tahun.

 

Persoalannya, adakah produk keluaran negara lain tidak berkualiti seperti produk buatan negara Uncle Sam? Tidak perlu kita tengok dalam skala yang terlalu besar, mari kita lihat skop dalam komuniti bundle sahaja. Ada juga item-item buatan negara lain seperti Jepun, Korea (Rep. of Korea), Taiwan (R.O.C.), Yugoslavia, Italy dan lain-lain. Cuma jika diperhatikan, setiap negara lebih cenderung popular dengan jenis item tertentu sebagai contoh, jika jeans lebih sinonim dengan USA, barangan ‘Designer’ pula banyak dari negara eropah seperti Italy dan Perancis, kasut sukan yang vintage pula banyak juga datang dari Yugoslavia, Republik of Korea dan Taiwan (R.O.C.).

Kehadiran China sebagai kuasa besar dalam sektor pembuatan pula sedikit sebanyak mempengaruhi corak perdagangan dunia. Jenama-jenama besar sudah mula membuka ruang untuk ‘Out-Source’ pembuatan produk mereka di negara yang menawarkan kos buruh yang lebih rendah seperti China. Seperti bait-bait lirik lagu dari Richard Ashcroft – “Will those feet in modern times, Walk on soles that are made in China?” terlintas di fikiran penulis tatkala menyiapkan artikel ini. Bukanlah mahu bersikap prejudis, namun berdasarkan pengalaman sendiri item yang diperbuat dari China agak pendek jangka hayatnya berbanding item-item lama yang dari negara lain.  

 

Dalam tinjauan pada tahun 2019 oleh Thomas, sekitar 62% responden mengatakan mereka lebih suka membeli produk buatan Amerika. Tinjauan lalu mendapati lebih daripada 20% mengatakan bahawa mereka bersedia membayar hingga 10% lebih dari harga asal untuknya. Walaupun banyak jenama popular dicap dengan label “Buatan China”, masih ada syarikat yang produknya dibuat di Amerika Syarikat. Dalam satu kajian oleh Cheapism.com, terdapat 76 jenama yang masih mengekalkan tradisi pembuatannya di USA sejak dari awal penubuhan hingga ke hari ini. Antara yang dikenali adalah Harley Davison, Gibson Guitars, Martin Guitars, Wilson Football, Allen Edmonds Shoes, Stetson Hats, New Balance Shoes, Zippo Lighters, LL Bean Boat & Tote Bags dan lain-lain. Harga sudah tentu lebih mahal namun melihat jenama-jenama tersebut sahaja sudah tahu tahap kepuasan hati apabila membelinya.

 

Sebagai rumusan, tidaklah bermaksud penulis ingin memperlekehkan barangan yang bukan buatan USA, atau bukanlah penulis terlalu menjunjung tinggi label USA hingga ke tahap maksum. Namun, kenyataan yang harus kita terima adalah dari sudut pembuatan, USA mendahului carta melalui pencapaian cemerlang produk mereka kekal bertahan sepanjang zaman. Jadi tidaklah pelik jika item yang diklasifikasikan sebagai vintage, true vintage terjual dengan harga yang sangat tinggi. Kita beruntung kerana walaupun sudah terlalu jauh dengan zaman-zaman emas pengeluaran dan pembuatan sekitar 50an – 80an, kita masih boleh melihat dan memegang dengan tangan sendiri produk-produk ini jika kita rajin bertanya atau punya modal untuk membeli jika ada kolektor yang ingin menjual.

Persoalannya, mampukah produk yang baru keluaran negara selain USA bertahan berpuluh tahun untuk mencapai ‘level’ vintage item pula bagi generasi akan datang? Atau ‘scene’ vintage di dunia ini pada tahun 2050 contohnya masih juga lagi berlegar dengan item-item keluaran zaman-zaman emas dahulu? Sama-sama kita tunggu dan lihat. Secara peribadi, penulis berangan-angan ingin melihat jenama tempatan ‘Made In Malaysia’ pula merangka legasi seperti jenama Made In USA. 


 

Pick Of The Month


 

Item Newly Listed

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lokein