fbpx

Gudang Seribu Jiwa – Lahirnya Dari Minat & Kreativiti Sebuah Komuniti

Gudang Seribu Jiwa – Lahirnya Dari Minat & Kreativiti Sebuah Komuniti

Pertama kali penulis sampai ke SETOR GOMBAK, Kuala Lumpur adalah sekitar dua minggu yang lalu. Hingga ke hari ini ‘feel’ itu masih membekas di jiwa. Suasana yang tercipta ketika malam di situ boleh dikatakan lengkap serba-serbi baik dari segi susun aturnya, pencahayaannya, ‘ambience’ bunyi-bunyiannya dari ‘live music’ nya dalam keadaan yang cukup santai dan bersahaja.

Pertemuan dengan Abang Mat (Ahmad Shakamil) yang merupakan antara pengasas GUDANG NO. 5 di SETOR GOMBAK memberi kami sedikit maklumat tentang sejarah bermulanya tempat ini. “Flea Market punya ‘culture’ di Kuala Lumpur ni memang cantik tetapi kami merasakan kita perlu ada satu ruang khas yang unik selain kita berniaga bentang atas jalan”, jelas beliau memulakan bicara.

Ahmad Shakamil atau lebih dikenali dengan nama Abang Mat (duduk) bersama rakannya di Gudang No. 5

Beliau bersama beberapa rakan yang sama-sama berniaga di JRB Vintage Night Market, Jalan Raja Bot KL sepakat membangunkan GUDANG NO. 5 yang menghimpunkan penjual-penjual barangan vintage di bawah satu bumbung. Menurut Abang Mat, di SETOR GOMBAK (kini telah ditukar nama ke GOMBAK DEPOT) terdapat 23 buah gudang keseluruhannya. Kawasan milik persendirian kepunyaan Lowyat Group ini merupakan tinggalan bersejarah kerana didakwa telah wujud sejak tahun 1940an lagi. Terdapat beberapa aktiviti produksi filem pernah dijalankan disini termasuk penggambaran filem ‘Penyamun Tarbus’ sekitar tahun 1974. Selain itu beberapa penggambaran klip video artis-artis terkenal tanahair juga pernah diadakan disini.

“Kami (Gudang No. 5) bermula secara rasmi pada bulan puasa tahun lalu. Ketika itu ‘scene’ bundle tempatan seperti agak merudum disebabkan pengilang-pengilang besar bundle mula aktif melibatkan diri dalam industri ‘retail’. Bila ‘player-player’ besar seperti ini pun dah mula buka kedai, sedikit sebanyak pemilik-pemilik kedai bundle individu kita terkena tempiasnya. Salah satu kesannya adalah untuk maintain kos sewa kedai yang menjadi beban apabila ‘sale’ makin ‘slow’. Dari situlah timbulnya usaha untuk kami wujudkan satu tempat khas buat kawan-kawan yang mana mereka boleh letak barang jualan tetapi dengan kos yang lebih murah” ujar Abang Mat lagi.

Antara peniaga yang mempunyai lot kedai di dalam GUDANG NO. 5 adalah Nua Garage (Chow Kit), Garasi (Kampung Baru), Johan Bundle (Chow Kit), Omar Karung Guni (Campbell), Kabin KL (Kampung Baru), Wak Awak (Campbell), One Ain (Campbell) dan beberapa lagi. “Semua sekali ada 18 ‘seller’ dalam Gudang No. 5 yang menjual pelbagai jenis barang dari vintage, junk, pre-loved, streerwear dan lain-lain”. Abang Mat juga menambah 7 daripada mereka adalah ahli jawatankuasa Persatuan Peniaga Bundle Malaysia (PPBM) yang ditubuhkan bersama untuk menjaga kebajikan peniaga-peniaga bundle tempatan dan kebanyakan dari mereka adalah kawan-kawan rapat dan peniaga-peniaga lama di Jalan Raja Bot.

Apabila ditanya tentang konsep dan ‘style’ yang ditampilkan di SETOR GOMBAK amnya dan GUDANG NO. 5 khususnya, Abang Mat menjelaskan bahawa mereka disana cuba lari dari kebiasaan penampilan peniaga bundle yang menjual dibawah khemah. Seperti yang penulis cuba sampaikan di awal penulisan tadi, suasana disini ada miripnya dengan ‘style’ vintage ‘flea market’ di Bangkok yang mengutamakan susun atur dan ketelitian dalam setiap aspek untuk memberi satu identiti tersendiri dengan cara yang kreatif. Ditambah pula dengan keadaan asal bangunan gudang-gudang ini yang telah berusia lebih dari 50 tahun, ia berjaya melahirkan ‘jiwa’ vintage itu keluar sebagai satu persembahan yang mengasyikkan kepada pengunjung yang hadir. Tidak hairanlah jika terlihat pengunjung yang datang tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar disini.

Selain GUDANG NO. 5, terdapat sebuah ‘venue’ menarik yang bernama PANGGUNG ASIA yang bertempat di gudang nombor 2. Terletak di bahagian depan kawasan SETOR GOMBAK, penampilannya dari luaran seolah-olah sebuah kelab malam di zaman P.Ramlee. Bertentangan dengan PANGGUNG ASIA pula adalah KANTIN SG, iaitu sebuah ‘food court’ yang bertempat di gudang nombor 4 dan 5 yang menjadi ‘port’ untuk pengunjung makan-makan sambil melayan persembahan ‘live’ pemusik di situ. Suasana ketika malam hari bermula dari jam 9 ke atas akan dipenuhi pengunjung dari serata Kuala Lumpur. Abang Mat berkata sejak wujudnya KANTIN SG, terlihat penambahan pengunjung dari lain-lain lpisan masyarakat ke sini.

“Sebelum itu pengunjung hanya terdiri dari penggemar-penggemar bundle sahaja, tetapi sekarang kita perasan yang datang berkeluarga juga telah mula ramai. Ini sedikit sebanyak membantu menaikkan hasil jualan kami kerana disini kami tidaklah semuanya jual yang ‘pure vintage’ sahaja. Ada juga barangan yang biasa-biasa untuk jualan. Jika ada rezeki, kadangkala ada pengunjung yang tertarik dengan koleksi yang vintage, kita jual juga”. Abang Mat juga berkongsi pengalaman beliau menerima pelanggan dari negara-negara luar seperti Poland, Germany dan lain-lain yang mana mereka banyak mendapat informasi tentang GUDANG NO. 5 dari carian di Internet.

Sempena sambutan hari kemerdekaan negara yang ke 62 hujung bulan ini, GUDANG NO. 5 dengan kerjasama PANGGUNG ASIA dan beberapa rakan lain akan menganjurkan acara GUDANG MERDEKA 2019 yang bertempat di Panggung Asia, Setor Gombak. Acara yang mengumpulkan kolektor serta peminat barangan vintaj malaya ini akan bermula dari 30 Ogos hingga 1 Sept 2019. Selain terdapat ‘booth-booth’ jualan yang menampilkan ‘seller-seller’ tempatan, turut akan dipamerkan adalah koleksi-koleksi vintage buatan Malaya yang semestinya ‘rare’ yang mungkin kita sendiri belum pernah terfikir akan berpeluang melihatnya secara langsung.

PESTA GUDANG MERDEKA – 30,31 OGOS & 1 SEPTEMBER 2019

“Tahun lalu kami sudah mulakan dengan acara GUDANG ILUSI yang membawakan penjual dan pengumpul barangan lusuh (junk) dan juga komuniti ‘Pickers’ yang mana mereka membawakan koleksi-koleksi antik dan berharga mereka untuk jualan dan pameran. Tahun ini kami ingin kongsi pula dengan pengunjung tentang apa itu ‘Vintage Malaya’ kerana dikalangan kita juga terdapat ramai kolektor-kolektor tegar dengan simpanan peribadi yang amat bernilai”. Abang Mat juga menambah selain segmen barangan vintage, acara ini turut meraikan penjual-penjual barangan pre-loved atau bundle dan lain-lain.

Acara utama akan berlangsung di gudang nombor dua dibawah pengurusan Panggung Asia. Penulis berkesempatan berbicara dengan Encik Harris Baba dan Encik Azman yang bertanggungjawab membangunkan ruangan kreatif tersebut. Panggung Asia pernah menjadi hos untuk acara ‘press conference’ Yngwie Malmsteen tidak berapa lama dahulu dan juga menjadi ‘venue’ untuk konsert-konsert artis terkemuka tanah air. Dilengkapi dengan fasiliti yang cukup selesa, berhawa dingin sepenuhnya dengan konsep binaan yang cukup santai akan membuatkan acara Gudang Merdeka nanti satu acara yang dinanti-nantikan pada tahun ini.

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


×